Posted by: hasmora | April 6, 2010

Layu

pohon bahasaku berdiri
dulu tinggi tegap gagah
rendang daun lebat buah
kini jadi layu terik mentari
akhirnya pohon bahasa rebah
menyembah bumi ditulah tanah

bangsaku suka pohon bahasa lain
subur berbunga di tanah air sendiri
rela pohon bahasa sendiri, mati dimakan sepi.

Kota Belud, Sabah

Advertisements
Posted by: hasmora | September 12, 2009

Kata hatiku pada seorang si tua

kudendangkan puisi ini buat mereka yang terasa puisi ini kena pada dia terutama pak gad di blok 21 nih..

Kata hatiku pada seorang si tua

Aku melihat kau yang sedang meningkat tua
mencari-cari remaja dalam hati muda
berbicara seolah berumur dua puluh dua
sedang layak dipanggil orang pak cik tua
kau lupa uban sudah memutih di kepala
dan kau lupa anak yang sedozen dulu
kini memberi cucu dengan jumlah berganda
itupun kau masih gagah nak tambah cawangan
entahkan mampu memenuhi naluri perempuan
yang mahu dibelai penuh kasih sayang
sedang engkau pun semput nak berjalan
ada hati hendak tunjukkan kejantanan
rumah kata pergi kubur kata datang
tapi aku sesekali tidak terkilan
pada orang tua sepertimu yang gagah perasan
kalaulah aku begitu nanti bila aku sampai waktu
aku kan kembali membaca tulisan aku nukil ini
dan berkata – padan muka aku kena kat aku

aku sedang dewasa meniti hidup penuh liku
di kota metropolitan penuh simpang-siur
dan aku jua mungkin kan menjengah usia senja, sepertimu
dan doaku semoga usia sepanjang hidupku ini
tidak disia-siakan seperti kau lakukan
pada sisa-sisa hidupmu kini, orang tua.

Taman Bukit Angkasa, KL
0145 pagi, 13 Sept 2009.

Posted by: hasmora | September 12, 2009

Sebuah puisi dari hati penyair muda

dalam meladeni waktu terkadang ku ingin berpuitis dan menuai rasa yang terbingkis.. maka kunukilkan puisi yang tidak seberapanya ini.. selamat menghayati penuh makna

Aku Dan Cinta

Secebis rindu terkoyak dari dedaun cinta menjadi ubat duka jiwa lara
siapalah mampu mengubat luka yang terbebat lama berdarah semula
siapalah bisa merawat hati tergores kata dusta terbit dari lidah nista
siapa aku untukmu yang dilihat sempurna dari kacamata ramai jejaka
kata-kata cinta yang terucap indah dari ulas bibir perempuanmu
kini umpama racun yang membarah dalam dada berongga nestapa
cinta yang hadir dalam arteri jiwa meresahkan aku yang jahil
memanfaatkannya kadang-kala membuatku kecewa sahaja
seperti juga yang lain yang cuba mengecap cinta sementara manusia
tersesat dalam mencari makna bahagia hidup dunia fana
hingga terlupa pada janji-janji Tuhan Yang Maha Esa Maha Pencinta
kata-kata wanita bagaimana yang menjadi penawar ku sedang cari
mungkin betullah kata guruku tentang peranan seorang wanita
yang pabila dihalalkan dalam akad menjadikan dia seorang isteri
yang bakal memenuhi fitrah manusiawi seorang hamba ilahi
yang mencari redha Sang Pencinta dan restu ayah ibu
aku dan cinta, setelah kupinta pada Tuhanku petunjuk hidayah
segala syukur kupanjatkan atas kurniaan seorang pendamping
semoga menjadi suri mithali menemaniku meladeni duniawi.

Hasbullah Mohamed Rahman Al-Masnuri
Taman Bukit Angkasa, KL.

Posted by: hasmora | Jun 14, 2009

TANDA KERTAS UJIAN

Seminggu sebelum cuti sekolah lagi saya terima kertas ujian pertengahan tahun Pendidikan Islam tingkatan empat dan tingkatan lima. Banyak juga untuk guru praktikum seperti saya. Bila cuti pula saya benar-benar cuti. Sudahlah tak tanda sebelum cuti. Hanya selepas datang ke Kuala Lumpur selepas bercuti 3 hari balik kampong barulah saya tanda kertas-kertas itu.

Lega rasanya bila dah 80 peratus siap tanda. Macam langsai hutang bertahun. Pening kepala berhadapan dengan jawapan macam ragam hanya Tuhan yang Maha Tahu. Ya rabb…

Benarlah kata Ustaz Zawawi yang menjawab semasa sesi refleksi di ILIM minggu lalu “anda baru sekarang gelakkan jawapan pelajar, sedangkan kami sudah empat tahun dah gelakkan jawapan anda..” satu ungkapan berbisa yang disambut deraian tawa.

Sungguh, bengkel refleksi latihan mengajar yang dinamakan sebagai Kursus Pemikiran Islam di ILIM, Bangi minggu lalu mengesankan. Ada seorang kawan yang mengkritik kerana bukan lagi masa untuk pengisian.

Memang.. program yang padat dan tepu dengan pengisian yang agak memenatkan. Ada penceramah yang bagus. Ada yang membosankan. Adalah seorang. Yang lain semua bagus kecuali ada seorang yang agak bercanggah dengan pendirian dengan beberapa orang sahabat yang berbunyi semacam. Masakan tidak, seolah-olah yang mendengar hanya mampu menerima bulat-bulat apa yang disogok ke dalam minda tanpa ada penapisan ilmu yang sedia ada. Memanglah terlalu rigid jika tiada lagi toleransi dan menghukum orang begitu sahaja.. ah… masakan saya juga boleh terima itu semua dengan taklid buta tanpa fikir baik-buruknya..

saya ingat nak tinggalkan di sini contoh jawapan yang melucukan.. tapi… tak jadi.. tak payah la kot.. sendiri mau ingat.. kita sendiri pun zaman sekolah dulu lebih kurang ni juga.. goreng sesuka-sukanya..

saya rasa hendak menulis sedikit lagi tentang bengkel refleksi di ILIM. Mungkin esok atau lusa. Sekadar catatan buat tatapan diri sendiri sebagai kenangan dan menghindar lupa..

Posted by: hasmora | Jun 12, 2009

MASUKAN KEDUA

Ini adalah blog peribadi yang ketiga. Bermula dengan bicara hasmora kemudian Tamu Teratak Pendeta dengan url ustazlah.blogspot.com. ustazlah  terbina kerana tugasan yang diberi untuk subjek Teknologi dalam Pendidikan Islam. Terlanjur terbina, sayang hendak delete mana-mana pun. Tapi sekarang buntu pula hendak isi dengan apa.

Kemudian saya mula bikin blog untuk persatuan mySMPI. Juga untuk PALAPES yang kini tidak update sudah enam bulan. Di samping saya juga sebenarnya yang membina laman web komuniti Persatuan Penulis Nasional tanpa ada usul rasmi dalam mana-mana mesyuarat MT PENA. Sebenarnya ia adalah cadangan Kak Wan Zaida yang mengusulkannya ketika mesyuarat terakhir jawatankuasa Perhimpunan Penulis Muda Nasional.  Setelah saya cadangkan kepada SM Zakir dan minta pendapat beliau melalui emel. Dengan ayat gembira beliau bersetuju dan mencadangkan kepada orang lain untuk menyertai.

Mungkinlah ini salah satu keterujaan saya dalam menerokai laman maya. Lepas satu.. satu.

Satu nikmat duniawi yang saya nikmati kerana mudah senang mencapai jejaring sesawang canggih. Maklumat di hujung jari. Memberi maklumat dan berkongsi pendapat bila-bila masa.

Segala syukur dirafakkan.. hanyalah kepadaNya..

Posted by: hasmora | Jun 12, 2009

MASUKAN PERTAMA

Entah apa yang bersarang dalam fikiran hingga membina blog baru edisi wordpress pula.. bagai tiada cukup dengan blogspot. Mungkinlah ini sebagai percubaan saya menggunakan wasilah baru. Bukan sudah jemu dengan blogspot, tapi itulah.. kadang-kadang kita mahukan sesuatu yang baru. Mungkinlah ini juga tanda sebagai saya ini hanya manusia biasa yang tidak puas dengan apa yang ada.

Blog ini, mungkin akan menjadi catatan yang lebih santai. Di samping penjenamaan semula yang saya ingin lakukan. Saya rasa ingin mencuba saranan Tuan Haji Shamsuddin Othman yang mencadangkan saya menggunakan nama sebenar dalam penulisan. Mungkin dengan Hasbullah Mohamed Rahman. Kerana dengan nama ini juga yang menerbitkan Hasmora itu sendiri.

Rasa macam canggung lah pula guna wordpress ni. Makan masa juga hendak belajar yang baru ni..

Kategori